KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memanggil pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli susulan kritikannya terhadap pertukaran pemain dibuat ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, Qatar yang berkesudahan seri 3-3 dengan Korea Selatan, Khamis lepas.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata sebagai pemain bola sepak, Intan Sarah atau lebih dikenali Intan Serah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkenaan yang dimuat naik menerusi laman X, baru-baru ini.
“Kita akan menilai kenyataan yang beliau (Intan Serah) maksudkan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, Sepang, dari Doha, malam tadi.
Noor Azman juga berkata pihaknya akan meneliti dahulu kenyataan itu sebelum memutuskan tindakan terhadap Intan Serah.
Pemain berusia 24 tahun sebelum ini membuat kenyataan keras apabila mempersoalkan kewajaran Pan Gon menukar penyerang Darren Lok dengan pemain naturalisasi Paulo Josue pada babak kedua perlawanan membangkitkan kemarahan peminat bola sepak tanah air menerusi laman sosial terbabit.
Sebaliknya, Pan Gon membuktikan percaturannya membuahkan hasil apabila Josue menjadi watak penting dengan membuat hantaran kepada Romel Morales sebelum penyerang Kuala Lumpur City FC melepaskan gol penyamaan pada minit akhir masa kecederaan menentang Korea Selatan.
Dalam pada itu, Noor Azman menghargai usaha kerajaan menyalurkan peruntukan RM5 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas sumbangan RM5 juta. Kami akan berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan (penggunaan dana),” katanya.
Anwar berkata peruntukan berkenaan disalurkan dengan mengambil kira semangat juang tinggi pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala Asia 2023, lebih-lebih lagi dengan kejayaan mengikat Korea Selatan, 3-3, di Stadium Al Janoub, Doha.- BERNAMA