Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Johor menerima 12 laporan daripada mangsa-mangsa yang terpedaya dengan pelaburan matawang kripto atas talian melalui laman Accerx dengan nilai kerugian RM5.071 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa yang berumur antara 46 hingga 71 tahun itu mendakwa melihat iklan berkaitan pelaburan berkenaan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat.

Mereka kemudian menekan pautan yang diberikan seterusnya dibawa ke dalam kumpulan Whatsapp dan diberikan penerangan mengenai pelaburan tersebut.

Mangsa-mangsa turut memuat turun dan mendaftar di laman Accerx bagi memantau pelaburan masing-masing.

“Terpedaya dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat pembayaran ke akaun-akaun yang diarahkan untuk pembelian matawang kripto.

“Mangsa mendakwa semakan di laman tersebut menunjukkan pelaburan mereka menguntungkan berlipat kali ganda dan berhasrat untuk mengeluarkan wang tersebut.

“Namun, mangsa mula sangsi kerana wang tersebut gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuk dikehendaki membuat sejumlah bayaran sebelum wang keuntungan yang dibayar atau jika gagal bayar wang pelaburan akan hangus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kumar berkata, percaya telah ditipu, mangsa membuat laporan polis.

Mereka dilaporkan alami kerugian antara RM177,000 hingga RM1.78 juta setiap seorang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan dalam talian seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.

Sekiranya menjadi mangsa segera hubungi National Scam Respone Centre ditalian 997 dengan segera untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek. – MalaysiaGazette