JASIN – Padah terpedaya janji modal RM300 untung RM5,000 hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam, seorang penghantar kerugian RM82,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, lebih menyedihkan wang terbabit adalah hasil simpanan sendiri dan bapa pemuda berusia 25 tahun itu.
“Kejadian bermula selepas mangsa melihat iklan dalam kumpulan Telegram Sahabat Invest Master Bina yang kononnya membuat pelaburan pertukaran mata wang asing pada 19 Januari lalu.
“Scammer menjanjikan hasil pelaburan yang tinggi iaitu labur RM300 akan dapat keuntungan RM5,000 dalam masa tiga hingga enam jam,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Menurutnya, nilai keuntungan pelaburan juga bergantung kepada modal dibayar dan hasil keuntungan dibahagikan dengan pecahan 60 peratus dinikmati pelabur manakala bakinya diperoleh syarikat.
“Tertarik dengan pulangan lumayan dalam waktu singkat itu, mangsa melaburkan RM20,000 diikuti sembilan lagi transaksi ke dalam enam pemilik akaun berbeza.
“Keseluruhannya, mangsa memindahkan wang sebanyak RM82,000 antara tempoh 20 hingga 25 Januari lalu hasil simpanan sendiri dan bapanya,” katanya.
Ahmad Jamil berkata, bagi mendapatkan hasil pelaburan yang dijanjikan mangsa diminta melakukan transaksi seterusnya membuat dia berasa ditipu sebelum membuat laporan polis Jumaat lalu.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette