KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain menafikan berselisih faham dengan Datuk Fazley Yaakob setelah dilihat tidak lagi bersama.

Sebaliknya Imran berkata, dia kini tidak lagi bekerja sebagai Pengarah Kreatif di Suka Sucre yang dimiliki Fazley sejak Ogos 2023 selepas 15 tahun berkhidmat.

“Kami masih lagi berkawan, perpisahan dalam dunia korporat tu tak dapat dielakkan. Kita perlu mencari peluang yang baharu.

“Selama setahun saya susah nak fikir untuk berpisah dengan Suka Sucre. Sepanjang 15 tahun bekerja, kami jadi ahli keluarga yang akrab,” katanya, baru-baru ini.

Imran berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran single baharunya, Padam Dan Pergi yang berlangsung hari ini.

Sebelum ini, hubungan antara Imran dan Fazley menjadi tanda tanya apabila ramai menyangka kedua-duanya ada berselisih faham.

Fazley juga pernah menyatakan dia dan Imran tidak bergaduh seperti yang disangka segelintir pihak.

Sementara itu, Imran mengaku perkembangan kerjayanya sebagai penyanyi sedikit terjejas kerana perlu memberikan komitmen terhadap tugas hakikinya.

“Jadual kerja yang padat ‘memakan ruang’ untuk realisasikan cita-cita memandangkan latar belakang saya dalam dunia komunikasi dan pengajian media serta pemasaran, minat saya membantu membina syarikat serta namanya.

“Kerana minat dalam bidang itu, saya tak rasa rugi pun untuk menyempurnakan kerja saya. Sepanjang 15 tahun itu, secara keseluruhan, saya dah buat yang terbaik untuk Suka Sucre. Banyak produk yang keluar dan berjaya hasil titik peluh saya,” jelasnya. – MalaysiaGazette