MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membuat penyataan memfitnah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mufti Melaka dan juga Pengerusi Melaka Sentral Sdn Bhd, dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Razak Osman, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melalui satu rakaman video didakwa telah membuat satu penyataan memfitnah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mufti Melaka dan juga Pengerusi Melaka Sentral Sdn Bhd.
Perbuatan itu dilakukan melalui video yang dimuat naik pemilik akaun TikTok @othmanahamidjunior dalam kumpulan Whatsapp yang telah ditonton di satu alamat Jalan SD2/21 Taman Seri Duyong 2 dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira 3.30 petang 21 November 2022.
Tertuduh yang hanya bekerja sambilan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM7,000 kepada tertuduh.
Peguam K Shareveen dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya melakukan kerja sambilan dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500.
Tertuduh yang mengidap sakit jantung juga katanya, adalah penyara tunggal dua anaknya berusia 19 dan 24 tahun yang masih belajar di universiti serta ibu mentua yang sudah tua.
Majistret Sharda Shienha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 selain menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette