MELAKA – Padah memukul seorang warga emas di sebuah tapak glamping terkenal di sini semalam, seorang pemuda diberkas polis tengah hari tadi.
Suspek berusia 26 tahun diberkas kira-kira pukul 12.10 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat susulan
tular video berdurasi 29 saat kejadiannya memukul seorang wanita warga di sebuah tapak glamping di Tanjung Kling.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku 1.20 petang semalam apabila mangsa wanita berusia 76 tahun ke tapak glamping itu untuk menegur perbuatan pembakaran sampah secara terbuka di kawasan rumahnya sehingga menyebabkannya sesak nafas.
“Namun berlaku pertengkaran mulut antaranya dengan suspek iaitu cucu kepada pemilik tapak glamping berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ketika pertengkaran mulut, suspek secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa dan menumbuk muka wanita warga emas itu beberapa kali menyebabkan wanita itu cuba melarikan diri.
“Suspek bagaimanapun terus terus memukul belakang kepala wanita itu menyebabkannya terjatuh.
“Lelaki itu turut mengugut mahu memukul mangsa menggunakan kayu selepas warga emas itu berjaya bangun dan lari menyelamatkan diri masuk ke dalam rumah,” katanya.
Christopher berkata, serangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut dan sakit pada bahagian belakang kepala, muka, leher serta belakang badan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette