Kon Yeow (tengah) bercakap dengan pemberita hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneliti pelaksanaan isu pencen penjawat awam serta wakil rakyat selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamatkan kerajaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penelitian perlu dibuat susulan ia membabitkan sistem pentadbiran kerajaan negeri selain keputusan berhubung pemansuhan pencen itu turut memerlukan pindaan beberapa Akta sebelum ia dilaksanakan.

“Perkara ini masih di peringkat idea jadi biar pihak berkenaan (kerajaan) menghabiskan kajian mereka.

Kon Yeow (tiga dari kanan) merasmikan Projek Taman Linear di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

“Keputusan sedemikian (berhubung pemansuhan pencen) semestinya membabitkan pindaan beberapa akta sebelum ia dapat dilaksanakan.

“Jadi kita tunggulah kerja-kerja penyelidikan kajian serta pembentangan mengenai ia dilakukan kerana keputusan itu akan memberi kesan kepada struktur pencen penjawat awam serta wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Taman Linear di Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Projek yang menelan kos berjumlah RM1.5 juta itu adalah sebahagian daripada 14 projek pelan induk bagi memastikan pengekalan status Warisan Dunia UNESCO George Town membabitkan kos keseluruhan RM140 juta yang dibiayai kerajaan negeri, MBPP serta Think City.

Kon Yeow melihat lambang gangsa (emblem) UNESCO yang dihasilkan sebagai salah satu komponen istimewa di Taman Linear tersebut.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan pengambilan penjawat awam secara kontrak, Kon Yeow berkata, ia juga akan dipertimbangkan selepas kajian membabitkan isu tersebut dilakukan.

Media sebelum ini melaporkan, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara prinsipnya beliau sudah bersetuju dengan keputusan sama terpakai kepada ahli politik.

Pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap yang tidak berpencen.

Jabatan Perkhidmatan Awam ketika ini sedang menerajui kajian SSPA yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam. – MalaysiaGazette