Lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands yang melibatkan lima warga Myanmar. Kredit Gambar BOMBA, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Hujan berterusan didapati menjadi punca kejadian gelongsoran tanah telah dilaporkan berlaku di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berkata, keputusan itu hasil siasatan tapak bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan zon bahaya dan zon kawalan kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan anggota agensi tindak balas semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Siasatan awal JMG mendapati punca kejadian ini disebabkan hujan yang berterusan bermula pada jam 3 petang, 24 Januari 2024 dengan jumlah kumulatif hujan harian mencapai 126 mm pada 25 Januari 2024.

“Hujan berterusan ini menyebabkan cerun-cerun semula jadi yang berkecuraman tinggi yang didasari batuan granit (lebih daripada 35 darjah) cenderung untuk runtuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi mengelakkan risiko kejadian bencana geologi tanah runtuh, Kementerian Sumber
Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JMG mengesyorkan pihak berkuasa tempatan supaya mengambil kira input Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dalam perancangan pembangunan dan pengawalseliaan aktiviti kelestarian pertanian di kawasan bercerun.

NRES akan mengkaji kesesuaian pemasangan sistem amaran awal seperti tolok hujan secara komprehensif terutama di kawasan yang dikenal pasti berkerentanan tinggi tanah runtuh yang dijangka akan disiapkan pada hujung tahun 2024 di tujuh buah kawasan terpilih.

Pihak JMG dari semasa ke semasa akan memperluas dan mengemas kini peta-peta berkaitan melalui PBRC dalam menyalurkan maklumat berkenaan kawasan potensi bahaya tanah runtuh kepada pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette