MELAKA – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang wanita warga emas kerana marah ditegur membakar sampah di sebuah tapak glamping di sini minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirul Fathi Noor, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan cara memukul
menggunakan tangan terhadap Tan Soo Ee,77, di belakang sebuah rumah di Batu 9, Pantai Kundor, Tanjung Kling kira-kira jam 1.20 tengah hari, 28 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau
denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.
Terdahulu, Nor Asnini menawarkan tertuduh jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan tidak boleh berjumpa atau menghubungi mangsa.
Peguam Nur Aminahtul Mardiah bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya membantu neneknya membersihkan tapak glamping dan tiada pekerjaan tetap.
Selain itu hujahnya, anak guamnya merupakan pemegang kad OKU terencat otak kerana kepala retak akibat terbabit dalam kemalangan semasa berusia tujuh tahun.
Selepas meneliti hujah kedua pihak, Majistret Sharda Shienha kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Kes akan disebut semula 21 Mac ini. – MalaysiaGazette