ALOR GAJAH – Perjalanan seorang abang membonceng dua adiknya ke sekolah berakhir tragedi apabila remaja 16 tahun itu maut manakala adiknya cedera dalam nahas di Jalan Telok Gong, Pengkalan Balak di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Mohamad Iqmal Daniel Iskandar, 16, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Derah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa sedang membonceng dua adiknya berusia 11 dan 13 tahun untuk ke sekolah dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke Masjid Tanah.
“Nahas dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC tiba-tiba merempuh bahagian kanan belakang sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah sama yang membelok ke kiri untuk memasuki simpang.
“Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala dua adiknya cedera ringan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Mengulas lanjut Arshad berkata, tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, atau pun saksi bebas yang melihat kemalangan tersebut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta Axia berusia 66 tahun itu diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – MalaysiaGazette