Datuk Armizan ketika meninjau SKDS 2.0 bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Sepang hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,792 stesen minyak terlibat dengan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif tersebut dijangka dapat memberi maklum balas dan analisis tepat kepada kementerian dalam memperkemas mekanisme penyasaran semula subsidi diesel.

Dalam masa sama ia akan dapat menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

“Mekanisme penggunaan Fleet Card ini adalah antara usaha kerajaan untuk beralih daripada Sistem Analog Skid Tank kepada Fleet Card dalam memastikan subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain dapat memastikan kes ketirisan dan penyeludupan pada tahap yang paling minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau SKDS 2.0 bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Sepang hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, sebanyak enam buah syarikat perintis bagi projek berkenaan.

Ia melibatkan Sim Yew Enterprise Sdn. Bhd; Rantau Panjang Haulage Sdn. Bhd; Mun Chuen Transport Sdn. Bhd; Tan Swee Hee Sdn. Bhd; Multimodal Freight Sdn. Bhd dan Perceptive Logistics Sdn. Bhd.

Sebagai rekod, kerajaan sebelum ini dilaporkan merancang untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel pada suku kedua tahun 2024 yang bermaksud subsidi diesel tidak akan diberikan secara pukal di stesen-stesen minyak.

Sehubungan itu, KPDN menggerakkan projek rintis itu sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ini dilaksanakan. -MalaysiaGazette