Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua beranak direman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM10,000 dengan memperdaya orang ramai membabitkan permohonan rumah skim Program Perumahan Rakyat di salah sebuah daerah di Sabah.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua suspek masing-masing 40-an dan 20-an ditahan kira-kira 4 pagi tadi dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan di Sandakan.

“Kedua-dua beranak ini dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2023 dan mereka ditahan kerana meminta sejumlah wang daripada orang ramai dengan menjanjikan rumah mesra rakyat dan diberi insentif seperti perkakasan rumah sekiranya para pemohon dapat menarik lebih ramai orang.

“Wang rasuah yang diterima adalah melalui bayaran tunai dan pindahan bank ke akaun isteri suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Katanya, dijangka beberapa tangkapan dibuat lagi susulan daripada kes tersebut. -MalaysiaGazette