Sebahagian penduduk Teluk Kumbar berkumpul di pintu masuk Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menyatakan bantahan berhubung pembinaan asrama warga asing.

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar kecewa terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas didakwa gagal memberikan kata putus berhubung pendirian mereka terhadap projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh mendakwa, kerajaan negeri seolah-olah lepas tangan apabila meminta pemaju asrama warga asing itu berunding terus dengan penduduk.

“Dalam pertemuan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Kompleks Tunku Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini tiada sebarang kata sepakat dicapai susulan beliau memaklumkan isu ini perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Exco sebelum sebarang keputusan diumumkan.

“Namun, dalam masa sama tindakan kerajaan negeri memberi ruang kepada pihak pemaju untuk berunding terus dengan penduduk dalam pertemuan tersebut tidak sesuai kerana mereka (pemaju) dilihat seakan-akan mahu meneruskan projek dengan meminta pihak bantahan memberikan jumlah penempatan warga asing yang sesuai.

Muhammad Idiris.

“Sedangkan kita sudah nyatakan dengan jelas sebelum ini bahawa Teluk Kumbar bukan lokasi sesuai bagi pembinaan asrama warga asing atas pelbagai faktor termasuk impak sosial,” katanya kepada pemberita hari ini selepas mengadakan pertemuan lebih sejam bersama Kon Yeow.

Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz, wakil beberapa parti politik serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Menerusi pertemuan itu, Muhammad Idiris turut menyerahkan satu lagi resolusi kepada Kon Yeow susulan tiada respon positif diterima pihaknya sejak pertemuan pada 9 Januari lalu.

Tambah Muhammad Idiris, pihaknya akan membawa isu ini ke peringkat Kerajaan Pusat sekiranya tiada keputusan dimaklumkan selepas Mesyuarat Exco dalam tempoh terdekat.

“Kita bagi ruang lagi kepada kerajaan negeri sehingga mesyuarat exco yang terdekat diadakan sebelum langkah seterusnya diteruskan kerana isu warga asing ini adalah isu negara bukan membabitkan negeri saja.

“Sekali lagi saya mendesak kerajaan negeri untuk mendengar suara rakyat berbanding suara pemaju,” katanya.

Media pada Selasa lalu melaporkan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu memberi bayangan langkah provokatif akan dilakukan sekiranya Kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meneruskan hasrat pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, dekat sini.

Desakan itu disuarakan susulan tiada respon diterima jawatankuasa bertindak selepas mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri.

Difahamkan cadangan pembinaan asrama 27 tingkat itu telah mendapat kebenaran merancang secara bersyarat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast