MELAKA – Semua pemain industri pelancongan di Melaka disaran melakukan pembaharuan termasuk beroperasi dua shif untuk merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha yang boleh mempelbagaikan lagi tarikan pelancongan itu sekali gus membantu mencapai sasaran 18.7 juta pelancong tahun ini.
Menurutnya, ia telah dibuktikan Melaka Wonderland Theme Park sejajar dengan slogan Melaka, ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’.
“Usaha Melaka Wonderland memeriahkan kempen TMM2024 dengan inisiatif beroperasi pada waktu malam melalui Pesta Lampu bermula pada 15 Disember lalu sehingga 3 April ini harus dicontohi.
“Fleksibiliti waktu operasi dan servis fasilitinya berjaya menggamit kira-kira 150,00 pengunjung tahun lalu ke
taman tema berkeluasan 9.2 hektar ini sejak mula dibuka 14 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records Largest Lighting Event in Water Theme Park dan First Lighting Event in Water Theme Park di Melaka Wonderland Theme Park and Resort, Ayer Keroh di sini malam tadi.
Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, Pengerusi Melaka Wonderland, Datuk Zool Hilmi Abdul Ghaffar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Seow Cheng Swee.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, bagi merancakkan lagi TMM2024, taman tema itu turut menyediakan tawaran hebat kepada pengunjung.
“Pengunjung yang datang ke pesta lampu ini juga ditawarkan potongan harga sehingga 10 peratus bagi menikmati taman tema air pada waktu siang.
“Malah, ia juga membawa tarikan baharu apabila menyediakan aktiviti tasik seperti berkayak, mini zoo dan pelbagai tarikan lain,” katanya. – MalaysiaGazette