KUALA LUMPUR – Universiti perlu mengkaji keperluan mewujudkan fakulti baharu yang mempunyai kaitan dengan bidang yang mendapat permintaan tinggi pada masa sekarang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, graduan dalam bidang-bidang tertentu khususnya program literasi Kecerdasan Buatan (AI) dan sektor teknologi tinggi perlu ditingkatkan agar dapat memenuhi permintaan industri negara sekaligus para pelabur.

“Maka kita kena rancang, universiti kena juga melihat dari aegi keperluan-keperluan dalam industri-industri sebegini.

“Bukan hanya melibatkan silibus tapi universiti juga perlu melihat bidang-bidang keutamaan sebagai contoh mungkin perlu diwujudkan fakulti baru, jabatan baru yang ada kaitan dengan perkembangan terkini dalam dunia AI,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Program Libat Urus  Menteri Pendidikan Tinggi  Bersama Duta-Duta  Negara Luar di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah graduan tempatan dalam sektor teknologi tinggi tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan para pelabur.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kekurangan graduan dalam bidang yang mendapat permintaan tinggi hari ini didorong perubahan dalam perindustrian yang kini lebih canggih selepas pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh dalam bidang E&E, potensi begitu besar daripada pelabur datang ke Malaysia sedangkan kapasiti kita hanya mempunyai sekitar 5,000 sahaja,” katanya lagi.

Justeru beliau telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul dan naib-naib canselor universiti dalam negara untuk merancang penyelesaian terhadap kekangan berkenaan.

“Sebab itu dari segi bilangan mempunyai permintaan dalam beberapa sektor tertentu seperti disebut Tengku Zafrul beliau tahu sebab beliau menteri pelaburan dan beliau melihat permintaan,” tambahnya.- MalaysiaGazette