Jegan.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menafikan pihaknya merampas minyak petrol yang dijual dalam botol di beberapa kawasan di sekitar Teluk Kumbar, dekat sini, seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, meskipun penjualan petrol dalam botol menyalahi undang-undang namun pihaknya menggunakan budi bicara susulan penduduk sekitar mendakwa stesen minyak agak jauh daripada penempatan mereka.

“Memang kita ada buat pemeriksaan dan advokasi susulan wujud 11 lokasi penjualan petrol dalam botol di sekitar Teluk Kumbar serta Gertak Sanggul.

“Kita faham kesukaran dihadapi penduduk kawasan tersebut sebab itu tiada tindakan undang-undang diambil ketika kita lakukan pemeriksaan baru-baru ini.

Tangkap layar menunjukkan penjualan petrol dalam botol di beberapa kawasan sekitar Teluk Kumbar.

“Bagaimanapun, penjualan petrol dalam botol tidak digalakkan dari segi risiko keselamatan kerana ia merupakan bahan mudah terbakar,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai dakwaan KPDN melakukan serbuan ke atas beberapa premis yang menjual petrol dalam botol di Teluk Kumbar.

Difahamkan petrol yang diisi dalam botol dengan belian asal RM3 dijual kepada penduduk sekitar pada harga RM5.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, pihaknya juga kini dalam peringkat perbincangan dengan syarikat minyak untuk mengkaji kesesuaian untuk membuka stesen minyak di kawasan Teluk Kumbar.

“Buat masa ini, beberapa syarikat minyak sedang membuat analisa berhubung pembukaan stesen di Teluk Kumbar kerana ia membabitkan modal besar dan sekiranya hasil kajian itu merasai perlu maka mereka akan berusaha untuk membuka stesen baharu di sana.

Jegan melihat bekalan telur selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Pulau Pinang di AEON Big di Bukit Minyak di sini.

“Pembukaan stesen minyak baharu itu adalah pelan penyelesaian jangka masa panjang yang dicadangkan KPDN namun kita tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengusaha berbuat demikian kerana ia membabitkan modal individu tersebut,” tegasnya.

Terdahulu, Jegan mengadakan walkabout Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Pulau Pinang di AEON Big di Bukit Minyak di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast