PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan lima fokus utama merangkumi 20 landasan bagi menghadapi tahun 2024.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdu Kadir berkata, pelaksanaan kesemua fokus itu melibatkan keseluruhan ekosistem dalam KPT dan bukan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) semata-mata.
“Lima fokus utama itu adalah pertama, penyediaan bakat terbaik negara; kedua, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan
inovasi; ketiga, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu;
“Manakala, yang keempat iaitu pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan terakhir sekali, pemantapan ekosistem pemboleh daya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPT, di sini, hari ini.
Zambry berkata, bagi menjayakan matlamat tersebut ia memerlukan keterlibatan warga KPT di setiap jabatan, agensi dalam KPT, warga IPT dan rakan strategik termasuk industri serta kementerian dan agensi kerajaan lain.
Sementara itu, Zambry mengingatkan warga KPT supaya mengubah budaya kerja work in silo dan menganjak mentaliti I
kepada We.
Beliau menjelaskan, warga KPT menggalas beban tanggungjawab berat terhadap masyarakat dan disebabkan itu tanggungjawab bersama harus dilunas dan dituntaskan menerusi gerak kerja berpasukan dengan prinsip kolaborasi, koordinasi dan kerjasama.
“Tidak kira siapa anda, sama ada pengurusan tertinggi, para pensyarah, kakitangan bukan akademik, staf sokongan, para pelajar, ibu bapa, alumni dan rakan-rakan strategik
pendidikan tinggi negara, sahutlah suara ini.
“Suara untuk bergerak sebagai satu pasukan dan berdasarkan kepada collaboration, coordination, dan cooperation,” ujarnya.
Tambah beliau, hakikatnya kerja berpasukan dalam suatu ekosistem penyampaian perkhidmatan menerusi Kementerian ini menuntut kebersamaan dan kesatuan pemikiran, kesatuan hati dan kesatuan tindakan, sebagaimana diungkap oleh pemikir dan failasuf Malek Bennabi, ketika beliau melihat bagaimana sebuah kualiti sesebuah masyarakat itu dapat mampu menggerakkan satu perubahan secara bersama. – MalaysiaGazette