Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan pasport antarabangsa beliau buat sementara untuk ke Bangkok, Thailand pada 15 Feb ini.

Menerusi afidavit balasan pihak pendakwaan terhadap permohonan itu yang diperoleh media, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong berkata, berdasarkan tiket penerbangan, Muhyiddin akan bertolak ke Bangkok pada 4.20 petang.

Lim berkata, tujuan perjalanan Muhyiddin yang dinyatakan ialah untuk mengukuh dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan kenalan serta menghadiri acara pembukaan sebuah restoran yang diberi nama Phrigkiao.

“Alasan-alasan tersebut adalah tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak yang mewajarkan pelepasan pasport sementara kepada pemohon dan alasan-alasan yang dikemukakan pemohon tanpa ada keterangan sokongan dalam afidavit,” katanya.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen telah menetapkan 15 Feb untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta yang dihadapi Muhyiddin dan permohonan beliau untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.

“Kehadiran pemohon pada prosiding itu adalah wajib. Perkara ini ada dalam pengetahuan penuh pemohon tetapi pemohon masih membuat tempahan tiket penerbangan pada tarikh tersebut,” katanya.

Selain itu, Lim berkata, risiko Muhyiddin untuk melarikan diri masih wujud kerana masih berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram dan  pasport antarabangsanya tidak boleh dilepaskan kepada beliau.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa permohonan pemohon ini akan mengganggu proses perjalanan pendengaran bagi kedua-dua permohonan yang ditetapkan pada 15 Feb ini serta menyusahkan proses mahkamah,” katanya.

Berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu yang difailkan pada 31 Jan lepas, Muhyiddin berkata beliau memohon pelepasan sementara pasport antarabangsa hingga 23 Feb ini bagi membolehkannya ke Bangkok.

“Seorang kenalan rapat saya yang juga warganegara Malaysia baru buka sebuah restoran masakan Thai. Restoran tersebut mahu dirasmikan dan mereka menjemput saya bagi acara pembukaan tersebut sebagai tanda penghargaan, sebagai pemimpin negara Malaysia,” kata Pengerusi Perikatan Nasional itu.

Menurut Muhyiddin, lawatan itu perlu kerana beliau juga akan menziarahi ahli perniagaan Malaysia di Thailand bagi membincangkan hal-hal perniagaan yang menguntungkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara selain melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam di Bangkok bagi kesinambungan hubungan di luar lingkungan kerajaan.

Pada 29 Nov tahun lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal namun melepaskan dokumen itu buat sementara kepada beliau bagi tujuan percutian bersama keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura.

Muhyiddin, 76, berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Pihak pendakwaan memfailkan notis di Mahkamah Rayuan pada hari sama dan pendengaran kes itu ditetapkan pada 28 dan 29 Feb ini. – BERNAMA