KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai perjanjian kolaborasi penyelidikan dengan Private Pension Administrator Malaysia (PPA) bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memperkukuhkan simpanan pencen dalam kalangan orang muda.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, melalui kerjasama tersebut, kedua-dua institusi itu akan memulakan projek penyelidikan selama setahun yang bertajuk Enhancing Pension Saving Awareness and Intention Among Young Working Adults in East Malaysia.
“Kerjasama ini merupakan usaha berterusan UMS untuk menyumbang kepada masyarakat melalui penyelidikan ke arah menangani isu-isu realiti dunia masa kini.
“Kolaborasi kami juga menumpukan satu usaha ke arah keperluan merancang fasa persaraan dengan sumber peruntukan pencen yang mencukupi.
“Justeru itu, usaha ini amat penting kerana masih ramai golongan muda yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi masa hadapan memulakan kerjaya mereka tanpa mengetahui kaedah untuk mempunyai simpanan apabila bersara kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kasim, penyelidikan antara lain itu bertujuan untuk menilai tahap kesedaran simpanan pencen semasa dan mengenal pasti faktor yang mempengaruhinya.
Selain itu, katanya, tujuan penyelidikan itu juga bagi membangunkan strategi dalam meningkatkan hasrat individu untuk memiliki simpanan pencen.
Tambah beliau, demografi dan landskap ekonomi di Sabah dan Sarawak yang unik mewujudkan satu rangka kerja yang menarik untuk kajian tersebut,.
Katanya lagi, rangka kerja itu penting dalam memastikan keselamatan kewangan dalam komuniti untuk tahun yang mendatang.
Perjanjian kolaborasi penyelidikan itu dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di UMS baru-baru ini.
UMS diwakili oleh Datuk Dr. Kasim manakala PPA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Husaini Hussin menandatangani dokumen perjanjian tersebut.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh.
Turut dihadiri Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya Ts. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi dan Pengurus Pemasaran PPA, Wong Mew Sum. – MalaysiaGazette