JERANTUT – Kematian pendaki wanita, Zahalita Othman di Gunung Reskit, di Kuala Tahan pada 6 Februari lalu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ketu Polis Jerantut, Superintendan Azman Mat Khamis berkata, keputusan tersebut berdasarkan hasil siasatan awal pihaknya.
“Mangsa dilaporkan telah mengikuti program pendakian Gunung Tahan yang bermula sejak 1 Februari lalu, namun meninggal dunia pada Selasa lalu setelah mengalami sesak nafas dan telah meninggal dunia.
”Operasi membawa keluar mayat telah dimulakan sebaik sahaja maklumat diterima, namun jenazah mangsa berjaya dibawa keluar dari Gunung Reskit pada pagi ini.
”Berdasarkan siasatan awal, polis mengklasifikasikan kes ini kepada laporan mati mengejut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan membabitkan 37 orang yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perhilitan dan Mountain Cave Rescue.
Pihak polis merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini.
”Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam 10.10 pagi untuk tindakan selanjutnya selepas dibawa ke Hospital Jerantut.
”Pihak PDRM juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas pemergian ahli keluarga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette