WASHINGTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang operasi ketenteraan Israel di Rabah, dekat selatan Semenanjung Gaza.
“Saya amat bimbang dengan laporan bahawa tentera Israel akan bergerak ke Rafah, di mana ratusan ribu rakyat Palestin semakin terdesak untuk mencari tempat selamat,” kata Antonio Guterres dalam Perhimpunan Agung PBB mengenai keutamaan 2024.
Kenyataannya dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant memaklumkan rejim zionis itu menjadikan Rafah sebagai sasaran seterusnya.
Menurut Gallant, Rafah adalah kubu terakhir Hamas.
“Tindakan sedemikian akan meningkatkan mimpi ngeri kepada penduduk Palestin.
“Sudah tiba masanya untuk segera melakukan gencatan senjata dan pembebasan tanpa syarat kepada semua tebusan.
“Situasi di Gaza cukup melukakan hati semua, selain mengancam seluruh wilayah, tambahnya.
Gutteres menambah: “Tiada apa-apa yang mewajarkan serangan pengganas ngeri yang dilancarkan oleh Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.
“Juga tiada sebarang justifikasi untuk hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin.
“Namun, operasi ketenteraan Israel telah mengakibatkan kemusnahan dan kematian di Gaza pada skala dan kelajuan tanpa selari sejak saya menjadi Setiausaha Agung,” tegas Guterres.
Pemimpin PBB itu juga mendesak penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin, berdasarkan resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan perjanjian sebelumnya.
Israel telah melancarkan serangan maut ke atas Gaza berikutan serangan 7 Oktober oleh Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 27,585 rakyat Palestin dan mencederakan 66,978 yang lain.
Serangan Israel telah menyebabkan 85% penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60% daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Tambahnya, dunia ini telah memasuki zaman huru-hara.
“Terdapat begitu banyak kemarahan dan kebencian dan kebisingan di dunia kita hari ini. Setiap hari dan pada setiap masa, nampaknya — ia adalah peperangan. Konflik dahsyat yang membunuh dan mencederakan orang awam dalam jumlah yang tercatat.
“Kewajipan kita adalah untuk bertindak bersama demi keamanan dalam semua dimensinya,” katanya.
Jika setiap negara memenuhi kewajipan mereka di bawah Piagam PBB, Guterres berkata, hak setiap orang untuk hidup aman dan bermaruah akan terjamin.
“Tetapi kerajaan-kerajaan mengabaikan dan menjejaskan prinsip multilateralisme – dengan akauntabiliti sifar. – Agensi