Pihak Perkeso menyantuni waris keluarga Datuk Mokhtar Dahari di kediaman mereka dalam program Ziarah Prihatin, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Waris keluarga lagenda bola sepak negara, Datuk Mohamad Mokhtar Dahari menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1992 selepas beliau meninggal dunia akibat penyakit neuron motor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Allahyarham Mokhtar merupakan pencarum Perkeso bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sejak 1974 hingga 1990 sebelum beliau disahkan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Allahyarham yang terkenal dengan jolokan SuperMokh ini adalah penerima faedah bawah Skim Keilatan serta Pencen Penakat. Waris beliau telah menerima faedah ini sejak 19 Jun 1992.

”Sejak tahun tersebut, jumlah bayaran Pencen Penakat yang dibayar sehingga kini adalah RM272,533.57,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, balu Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, 68, masih menerima bayaran bulanan berjumlah RM708.20 dan akan terus dibayar sepanjang hayatnya.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Sri Subahan Kamal berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan tidak pihak yang terpinggir. – MalaysiaGazette