Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mengkaji satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedaulatan undang-undang Syariah.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi memperkasakan sistem kehakiman syariah agar sebarang tuntutan atau petisyen terhadap bidang berkenaan dapat dipatahkan.

“Cabaran terhadap undang-undang syariah ini amat dikesali kerana petisyen ini akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Negeri Kelantan, tetapi di seluruh negara.

“Saya menggesa pihak kerajaan agar mengkaji suatu pindaan Perlembagaan yang bersesuaian bagi melindungi kedaulatan undang-undang syariah sekali gus memperkasa dan mempertahankan sistem kehakiman syariah negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan Muhyiddin merujuk kepada petisyen yang difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri itu, terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya bakal mengumumkan keputusan kes Nik Elin lawan Kerajaan Negeri Kelantan esok.

Pada November tahun lalu, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual). – MalaysiaGazette