KUANTAN – Pengusaha stesen minyak sepatutnya bertindak melarang penjualan RON95 kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), Fuziah Salleh berkata, tidakan tegas akan diambil jika pengusaha stesen minyak didapati berdegil.
”Operator stesen minyak harus melarang kenderaan yang menggunakan kenderaan nombor pendaftaran asing daripada membeli RON95 di stesen minyak mereka.
”Jika tidak mereka boleh dikenakan tindakan oleh KPDN sekiranya pengusaha gagal mematuhi arahan,” katanya.
Fuziah berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung video yang tular tindakan warga asing yang dikatakan membeli minyak RON95 di laman sosial baru-baru ini.
”Pada pandangan kami di tindakan mengambil video itu bagus, membantu viral kepada rakyat lain sedar kesalahan yang dilakukan.
”Kadangkala kita mungkin terlepas pandang, yang penting membina kefahaman, ambil video bagus tetapi advokasi perlu dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette