Antara warga asing yang ditahan dalam operasi khas yang dilakukan JIM Johor.

JOHOR BAHRU – Seramai 72 warga asing yang tidak memiliki pas atau permit yang sah  ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam dua operasi di seluruh Johor selama dua hari sehingga hari ini.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, Ops Mahir dan Ops Sapu itu turut menahan empat warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai majikan menggajikan warga asing berkenaan tanpa pas atau permit kerja yang sah.

“Operasi dijalankan di 17 premis seluruh negeri pada Rabu dan Khamis, seramai 54 individu warga asing termasuk empat majikan warga tempatan ditahan.

“Mereka dipercayai bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah serta majikan tempatan itu disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dalam operasi ini, seramai 126 orang warga asing serta tempatan telah diperiksa dan 54 daripada mereka ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ditahan adalah 22 lelaki dan lima wanita warga Myanmar; tujuh lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan  Indonesia, tiga lelaki Nepal dan tiga lelaki Pakistan yang berusia antara lima hingga 48 tahun.

Kesemua mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki pas atau permit yang sah,” katanyanya.

Dalam pada itu, empat lelaki warga tempatan yang ditahan pula disyaki sebagai majikan berusia antara 25 hingga 46 tahun.

Baharuddin berkata, dalam operasi pada jam 12.25 tengah malam Khamis sehingga 2.30 pagi Jumaat di daerah ini, sebanyak 10 premis kediaman warga asing diperiksa.

“Dalam operasi itu seramai 95 orang warga asing diperiksa dan 18 daripada mereka ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh, sembilan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta lima lelaki warga Pakistan yang berusia antara 19 hingga 52 tahun.

“Semua tindakan yang diambil pihaknya susulan aduan orang awam yang menyatakan terdapat beberapa warga asing bekerja tanpa pas atau permit yang sah di premis dinyatakan,”katanya.

Mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Bagi warga tempatan yang ditahan pula, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada PATI.

Tambahnya, sebanyak 17 notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Baharuddin menegaskan, JIM Negeri Johor akan terus mempergiatkan lagi operasi dan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri ini bagi membanteras isu kebanjiran PATI.-MalaysiaGazette