KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan pihaknya ditawarkan seorang pemain Malaysia yang bermain di luar negara.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards percaya terdapat percubaan untuk mengheret kelab itu ke dalam perangkap perang bidaan pemain.
Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan disebabkan harga yang disebutkan adalah tidak munasabah.
“Kami percaya terdapat percubaan untuk meningkatkan nilai pemain dengan mencipta perang bidaan, sesuatu yang JDT tidak akan terperangkap,” kata Edwards di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Selain itu, Edwards menjelaskan, juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu sudah mempunyai skuad yang baik selepas membawa masuk beberapa pemain baharu bagi menghadapi musim 2024/25.
“Kami percaya skuad Harimau Selatan 2024/25 sudah mempunyai ‘squad depth’ yang baik berdasarkan beberapa pemain yang sudah diumumkan setakat ini.
JDT sebelum ini mengumumkan pemain import baharu bernilai tinggi termasuk Jalil Elias, Francisco Geraldes dan Murilo Henrique bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.
Malah, skuad Harimau Selatan juga bakal diperkuatkan dengan seorang pemain naturalisasi dengan Romel Morales dikhabarkan sebagai calon pemain itu. – MalaysiaGazette