Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mahu mengenal pasti “ikan besar” pada tahun ini, iaitu mengambil tindakan terhadap mereka yang mengaut kekayaan besar, tetapi tidak mengisytiharkan pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata, tindakan itu menyasarkan individu dan juga syarikat yang elak cukai.

“Ini juga selari dengan harapan Perdana Menteri yang mahu mereka yang lari cukai dikenakan tindakan,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Beliau berkata, operasi akan menyasarkan semua sektor di mana harta individu dan syarikat akan dibandingkan dengan pendapatan.

“Bukannya kami tidak berbuat demikian sebelum ini, cuma kami mahu menaik taraf tindakan,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk “ikan kecil” pula, LHDN menitikberatkan pendidikan dan peningkatan kesedaran.

Abu Tariq berkata, LHDN juga sering memantau influencer Internet dan mengaudit pendapatan yang mereka isytiharkan.

“Jika terdapat perkara yang tidak padan, kami akan siasat dan kejar cukai,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, sesetengah influencer gemar menayangkan barangan mewah seperti kereta mahal melalui Internet, tetapi mereka sebenarnya tidak memiliki aset berkenaan.

“Apapun, kami akan siasat secara teliti dan pasukan khas akan memantau dan mengenal pasti influencer yang ada.

“Kami akan menyiasat sama ada mereka telah mengisytiharkan pendapatan dan sama ada apa yang diisytiharkan itu betul,” katanya. – MalaysiaGazettw