Barisan peguam Tetuan Gunamalar Law Chambers bersama responden, Ravi Muniandy.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui yang mengemukakan saman fitnah terhadap salah seorang pengundi yang juga ahli parti MIC kawasan itu sekitar tahun 2020.

Keputusan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Jamhirah Ali memutuskan responden, Ravi Muniandy tidak melakukan fitnah sebaliknya hanya bertanyakan soalan selaku salah seorang pengundi Hulu Selangor kepada June Leow.

Sebagai wakil rakyat kawasan, sepatutnya June Leow menjawab kepada persoalan-persoalan ditujukan kepadanya pada masa itu kata hakim.

Jamhirah juga bersetuju dengan hujahan-hujahan peguam bela Ravi iaitu Tetuan Gunamalar Law Chambers bahawa responden tidak pernah membuat dakwaan dan fitnah secara langsung terhadap plaintif.

Hakim juga memerintahkan June Leow untuk membayar kos sebanyak RM30,000 selain menolak saman fitnah tersebut melalui prosiding yang diadakan secara aplikasi ‘Zoom’.

Difahamkan, Ravi melalui laman sosial miliknya ‘Tan Sri Bhagawan Ji’ telah menyoal kelewatan pembinaan blok baru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Escot yang disyaki wujudnya dakwaan skandal kewangan.

Ravi juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu sebelum tuduhan berkaitan isu itu dibawa ke muka pengadilan dengan seorang bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Mac 2023.

Tertuduh didakwa telah memalsukan dokumen selain menipu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Ladang Escot sebanyak RM285,000 pada Oktober 2016.

Ravi ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi olehnya termasuklah kekakangan kewangan namun usahanya dalam membuktikan kebenaran apabila mahkamah memberi pengadilan kepadanya.

“Saya sangat gembira, sebagai rakyat dan pengundi kita berhak bertanya dan menyoal. Kebenaran akhirnya di pihak kami. Saya ucapkan terima kasih kepada semua terutamanya barisan peguam yang telah banyak berhempas pulas untuk kes ini,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast