Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Enam faktor didakwa menjadi punca-punca utama ringgit semakin lemah sekarang berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan hampir semua negara-negara jiran dalam tempoh satu tahun lalu.

Pemerhati ekonomi dan politik, Lim Sian See berkata, ringgit juga susut berbanding negara-negara yang sedang berperang atau bankrap seperti Ukraine, Myanmar, Israel (yang juga antara tiga matawang digunakan di Palestin) dan Sri Lanka.

Ringgit turut susut nilai teruk berbanding negara-negara sumber tradisional pekerja asing di Malaysia seperti Bangladesh, Filipina, Nepal, Vietnam, Indonesia, India, Cambodia dan Thailand.

“Ya, Ringgit juga susut dengan Uganda,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran berasingan, beliau mendakwa eksport Malaysia sudah turun 10 bulan berturut-turut.

Purata penurunan bagi tahun 2023 ialah 8% manakala data paling baru ialah eksport turun 10% pada bulan Disember 2023 berbanding bulan yang sama 2022 tahun sebelumnya.

Selain itu, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia bagi tiga suku pertama tahun 2023 telah turun sekitar 60% berbanding tahun 2022.

Punca ketiga ialah pertumbuhan ekonomi sebenar Malaysia bagi tahun 2023 ialah 3.8% iaitu jauh di bawah unjuran penganalisis-penganalisis dan juga unjuran kerajaan dalam bajet 2023 iaitu 4.5% ke atas.

May be an image of text
Sumber FB Lim Sian See

“Kegagalan kerajaan untuk memberi unjuran yang tepat dalam bajet juga sedikit-sebanyak telah menghakis keyakinan pelabur pada kebolehan kerajaan bagi pengendalian ekonomi,” katanya.

Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lalu, hutang negara telah naik dari RM1.179 trilion dengan nisbah 60.3% pada akhir tahun 2022 ke RM1.2 trilion dengan nisbah 65% ketika ini.

Ini adalah kenaikan RM121 bilion sejak kerajaan Madani memerintah.

Lagi membimbangkan ialah nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik dari 60.3% ke 65% sekarang sedangkan had hutang yang ditetapkan kerajaan ialah 65%.

“Jadi, mungkin ada keperluan untuk kerajaan membawa usul ke Parlimen untuk naikkan lagi had hutang dari 65% ke 70% agar kerajaan tidak langgar undang-undang sendiri,” tambahnya.

Sian See mendakwa, ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, had hutang kerajaan ialah 55% (dinaikkan dua kali selepas PRU14 ke 65%) manakala jumlah hutang pada akhir tahun 2017 ialah RM686.8 bilion dengan nisbah hutang 50% setelah bekas perdana menteri itu berjaya turunkan defisit kerajaan bagi lapan tahun berturut-turut.

“Setelah Najib dijatuhkan jumlah hutang negara telah naik RM523 bilion manakala nisbah hutang sudah naik 15%,” tambahnya,

Beliau turut mendakwa beberapa penganalis-penganalis mula menurunkan unjuran bagi harga minyak tahun 2024.

Sebagai contoh, penganalis CITI group telah turunkan unjuran ke AS$$74 satu tong bagi tahun 2024 dan AS$60 bagi tahun 2025.

Namun Bajet 2024 kerajaan menggunakan unjuran harga AS$85 satu tong.

Jelasnya, setiap kejatuhan
AS$1 bagi harga minyak merugikan hasil pada kerajaan sebanyak RM300 juta.

“Jika unjuran salah maka bajet akan lari,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah, Kerajaan Malaysia sendiri unjurkan kadar inflasi bagi tahun 2024 akan naik sehingga 3.6% susulan tindakan kerajaan sendiri untuk mengenakan pelbagai cukai baharu, menaikkan kadar cukai, menaikkan harga bulanan elektrik, air serta Indah Water dan rancangan untuk menaikkan harga petrol/diesel dengan menghapuskan subsidi pukal.

Secara amnya, bila kadar inflasi naik maka nilai matawang akan turun. tapi dalam konteks Malaysia ketika ini, ia memberi kesan yang lagi besar sebab kadar faedah kadar dasar semalaman (OPR) ialah 3.0% sekarang.

Jika kadar inflasi naik ke 3.6% seperti diunjur kerajaan maka kadar sebenar dari faedah OPR 3.0% akan menjadi negatif.

“Pelabur asing mana nak labur dalam Malaysia sekiranya mendapat pulangan negatif 0.6%?,” tanya beliau lagi.

Menurutnya, OPR Malaysia masih rendah berbanding kadar faedah negara Amerika Syarikat (AS) biarpun ramai yang unjur AS akan turunkan kadar faedah mereka tahun ini, malangnya data-data ekonomi terbaru AS tidak mengizinkan penurunan kadar faedah dalam masa terdekat.

Kelemahan ekonomi China ketika ini juga memberi kesan kepada nilai ringgit sebab ekonomi Malaysia sangat berkait dengan China memandangkan ia adalah pasaran eksport terbesar bagi negara ini.

“Dan itulah punca-punca utama sebenar kenapa nilai ringgit semakin lemah. Punca-punca dalaman negara dan dari luar,” katanya. – MalaysiaGazette