KUALA LUMPUR – Sabah FC terpaksa melupakan khidmat penyerang sayap lincahnya, Saddil Ramdani yang tidak dapat menyertai pasukan ke Australia untuk berdepan Macarthur FC bagi separuh akhir Piala AFC, Selasa ini.
Pemain antarabangsa Indonesia itu terpaksa menjalani terapi susulan kecederaan dialaminya.
Perkhabaran itu dikongsikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir menerusi laman Instagram beliau yang turut memaparkan gambarnya bersama Saddil, semalam.
“Semoga cepat sembuh @saddilramdani dan dipermudahkan segala urusan terapinya,” katanya menerusi perkongsian berkenaan.
Bagaimanapun, tiada penjelasan berhubung terapi yang perlu dijalani Saddil namun difahamkan ia berkaitan dengan kecederaan yang dialaminya.
Sabah FC tiba di Sydney petang kelmarin iaitu tiga hari sebelum menentang Macarthur pada separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Campbelltown, Selasa ini. – MalaysiaGazette