Mohd Azizuddin Abdullah

KUANTAN – “Semakin banyak kita menghargai benda, semakin kurang kita menghargai diri sendiri”.

Ia merupakan konsep Bruce Lee yang disaran kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak bagi menguruskan duit ‘angpow’ musim Tahun Baru Cina ini, kata Mohd Azizuddin Abdullah.

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuantan itu berkata, konsep tersebut digunakan dalam pengurusan kewangan, dan harus difahami oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak pada usia seawal mungkin.

Jelasnya, pendidikan kewangan harus bermula dari awal dan ia adalah peluang baik untuk mengajar mereka cara mengendalikan sejumlah besar milik masing-masing sebagai asas pengurusan kewangan yang betul.

”Untuk mengajar prinsip Bruce Lee kepada anak-anak kita, minta mereka uruskan wang angpau yang mereka terima sebaik sahaja perayaan Tahun Baharu Cina berakhir dengan sistem Pengurusan Wang 3 Kotak.

”Caranya agihkan jumlah itu ke dalam tiga kotak, iaitu ‘Simpan’, ‘Belanja’ dan ‘Kongsi’, dengan memperuntukkan, sebagai contoh, 30% untuk disimpan, 60% untuk dibelanjakan dan 10% untuk dikongsikan dengan orang lain seperti belanja kawan aiskrim termasuk dalam peruntukan 10% tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, cara itu tidak dihadkan kepada wang angpau, sebaliknya digunakan untuk wang saku sekolah sepanjang tahun bagi memupuk budaya pengurusan kewangan berhemat.

Menurut Mohd Azizuddin, prinsip Bruce Lee menekankan elemen pandai menghargai sesuatu benda kerana setiap orang cenderung untuk berbelanja secara berlebihan jika mereka terlalu mementingkan benda atau materialistik.

Tambah beliau, menghargai diri dan erti hidup bermaksud mereka lebih cenderung untuk menyimpan demi masa hadapan, membelanjakan wang atau menggunakan kredit untuk perkara yang mustahak dan bermakna.

”Kita menghargai diri sendiri dan erti hidup yang ingin kita capai, atau lebih daripada benda maka kita cenderung untuk berbelanja dengan bijak.

”Selain itu kita berkongsi sebahagian daripada apa kita kita dapat dengan mereka yang kurang bernasib baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette