Penang Sentral dengan tiang-tiang struktur yang tidak siap merosakkan suasana.

SURAT pembaca bertajuk “Betulkah Penang elok dah?” oleh Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, seorang professor madya di Universiti Sains Islam Malaysia, dan felo penyelidik di Universiti Utara Malaysia, yang disiarkan di portal Malaysia Gazette baru-baru ini, menyerlahkan masalah jaringan pengangkutan awam di negeri Pulau Pinang.

Surat tersebut amat komprehensif, dan menyentuh pelbagai jenis pengangkutan awam seperti rangkaian bas, feri, keadaan terminal bas dan feri, dan juga mempersoalkan ketiadaan sistem pengangkutan rel di negeri tersebut.

Alangkah baiknya, kerajaan negeri DAP yang telah menerajui Pulau Pinang lebih dari sedekad mengambil serius isu yang dibangkitkan ini demi kebaikan rakyat dan negeri Pulau Pinang. Ini penting bukan sahaja untuk mengekalkan imej negeri sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga untuk memastikan kesejahteraan penduduk negeri.

Jika sebelum ini DAP sering membangkitkan kegagalan pentadbiran kerajaan terdahulu, maka sekarang sudah tiba masa untuk DAP “cakap serupa bikin” dan membuktikan keupayaan mereka. Memandangkan Setiausaha Agung DAP juga memegang portfolio Menteri Pengangkutan, maka pasti tiada masalah untuk kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil langkah untuk menambah baik jaringan pengangkutan awam di negeri Pulau Pinang. Alasan lama, iaitu “kami bukan kerajaan pusat” tidak lagi boleh dipakai.

Dalam masa sama, juga diharapkan kerajaan negeri mengambil langkah memperbaiki imej tarikan pelancong Bukit Bendera yang sebelum ini pernah disenaraikan sebagai “perangkap pelancong” terburuk di Asia oleh media luar negara.

Reaksi kerajaan negeri terhadap laporan tersebut pada masa itu amat mengecewakan, di mana kerajaan negeri dilihat cuba mengelak tanggungjawab dengan memperlekehkan laporan tersebut sebagai tidak tepat. Diharapkan sikap kerajaan negeri terhadap isu ini berubah dan menjadi lebih profesional serta matang. Terimalah hakikat bahawa tiada manusia sempurna. Belajarlah untuk menerima teguran dan berubah ke arah yang lebih baik, bukannya terus bersikap sombong dan angkuh.

Selain itu, projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama yang bernilai RM6.3 bilion juga dilihat menghantui kerajaan negeri. Apa gunanya berbelanja berbilion ringgit untuk projek mega seperti ini, tetapi jaringan pengangkutan di kawasan bandar, dan ke kawasan tarikan pelancongan seperti Tapak Warisan UNESCO pula tidak dikendalikan dengan baik? Lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri Pulau Pinang bergantung harap kepada industri pelancongan untuk hasil negeri.

Ditegaskan bahawa artikel ini tiada niat lain, hanya menegur demi kebaikan. Diharapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih terbuka dalam menerima pandangan membina.

Tan Yang Pang
Naib Ketua Pemuda MCA

Betulkah ‘Penang elok dah’?