Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai masa depan dua pemain kebangsaan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid akhirnya terjawab apabila mereka secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu Terengganu FC (TFC) bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkhabaran gembira skuad Penyu itu dikongsi menerusi laman sosial kelab sebentar tadi. di mana kedua-dua pemain tersebut menyertai TFC dengan status pemain pinjaman.

Sebelum ini, hala tuju dua sayap lincah itu mula menjadi bualan selepas kurang mendapat minit permainan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan persaingan sengit kelab Harimau Selatan tersebut.

Penampilan dua pemain itu sudah pasti mampu memberi sentuhan berbisa jentera serangan Tomislav Steinbruckner yang sudah pun mengekalkan khidmat penyerang Croatia, Ivan Mamut.

Safawi bukan asing buat Terengganu kerana beliau merupakan anak kelahiran Dungun yang memulakan karier profesionalnya bersama T-Team pada 2014.

Cemerlang dua musim bersama kelab tersebut, dia dipancing JDT pada musim 2017 dan semua sudah mengetahui pelbagai kejuaraan telah dimenangi pemain sayap itu.

Sepanjang bersama JDT, Safawi telah dipinjamkan sebanyak dua kali ke luar negara iaitu bersama Portimonense (Portugal) dan Ratchaburi (Thailand).

Pemain sayap lincah kelahiran Jitra, Kedah itu menyertai JDT pada musim 2019 namun kurang minit permainan memaksa dia memilih haluan untuk berkelana ke pasukan lain.

Kehadiran Safawi dan Akhyar ini jelas dapat meningkatkan kekuatan Terengganu yang sebelum ini turut merekrut bekas pemain kebangsaan, Akram Mahinan.

Terengganu menamatkan musim 2023 dikedudukan keenam hasil 11 kemenangan, tujuh keputusan seri dan lapan kekalahan untuk mengumpul 40 mata.

Skuad kendalian Steinbrückner itu berjaya mara ke final Piala Malaysia tetapi tewas 1-3 kepada JDT manakala kemaraan kempen Piala FA pula terhenti di separuh akhir. – MalaysiaGazette