KAHERAH – Mesir mendakwa Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich sabotaj rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah.
Ia susulan tindakan Smotrich yang menggesa Benjamin Netanyahu supaya tidak menghantar wakil Israel ke Kaherah untuk rundingan tebusan, menurut laporan Times of Israel.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Isnin, Kementerian Luar Mesir berkata, Smotrich “terus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghasut, hanya mendedahkan ‘kelaparan’ rejim zionis itu untuk terus melakukan pembunuhan dan kemusnahan.
Tindakan itu, dakwa Mesir telah mensabotaj sebarang percubaan untuk membendung krisis di Semenanjung Gaza.
Kementerian itu menganggap “kenyataan sedemikian adalah tidak boleh diterima sama sekali, kerana Mesir mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas wilayahnya dan tidak membenarkan mana-mana pihak melibatkan nama Mesir dalam sebarang percubaan yang gagal.
Mesir menganjurkan pusingan baharu rundingan, di bawah tajaan Mesir-Qatar, dengan matlamat untuk menghentikan perang di Semenanjung Gaza dan membebaskan tahanan Palestin dan Israel. – Agensi