Safawi Rasid. Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Bagai sireh pulang ke gagang, itulah perumpamaan yang paling sesuai selepas Safawi Rasid sah menjadi milik Terengganu FC (TFC).

Pemain sayap itu dipinjam dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk tempoh semusim bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

Safawi yang berusia 27 tahun merupakan pemain tempatan yang berasal dari Dungun, Terengganu.

Dia juga adalah salah seorang pemain utama yang telah berada dalam senarai pemain yang ingin ditandatangani oleh pengendali pasukan, Tomislav Steibruckner bagi projek musim baharu TFC.

Untuk rekod, Safawi akan menjadi anak didiknya buat kali kedua di mana sebelum ini mereka pernah bekerjasama di dalam pasukan T-Team FC pada tahun 2015.

Safawi akan menyarung jersi bernombor 11 bersama pasukan Terengganu FC.

“Saya merasa amat teruja apabila dapat kembali untuk beraksi bersama pasukan di negeri kelahirannya.

“Sejujurnya saya sedar perlu terus berusaha keras bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan ini.

“Saya juga ingin menggunakan pengalamannya setelah pernah beraksi bersama beberapa pasukan dari luar negara dan juga pasukan gergasi di Liga Malaysia iaitu JDT untuk membantu pasukan TFC mendapatkan tempat yang lebih baik dalam saingan liga dan juga memburu piala kejuaraan bagi saingan musim baru,” katanya di Facebook TFC di sini.

Semalam Safawi diperkenalkan secara rasmi pihak pengurusan TFC dengan kontrak selama semusim secara pinjaman daripada JDT.

Dia pernah beraksi bersama kelab Portimonense dalam Liga Portugal pada tahun 2020 dan kelab Thailand, Ratchaburi FC tahun lalu. – MalaysiaGazette