KLANG – Jasad seorang lagi mangsa nahas udara pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, selamat dituntut ahli keluarga kira-kira jam 5 petang tadi.

Mayat terakhir, Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dibawa keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kira-kira jam 6.10 petang tadi.

Jasad mangsa dibawa menaiki sebuah van putih selepas proses bedah siasat selesai jam 12.15 tengah hari tadi.

Mayat juruterbang pesawat itu akan dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi untuk proses pengebumian.

Mayat Yee dan Roshaan Singh Raina, 42, ditemui terbenam pada kedalaman kira-kira dua meter dalam tanah di kebun kelapa sawit Kampung Tok Muda, Kapar selepas pesawat ringan yang dikendalikan mereka terhempas semalam.

Pesawat tersebut dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Bagaimanapun pesawat itu dilaporkan terbakar dan terhempas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar. – MalaysiaGazette