ACP Yahaya Hassan

IPOH – Seorang guru sekolah menengah ditahan dipercayai mencabul pelajar perempuan Tingkatan Dua sekitar Disember tahun lalu hingga Januari 2024.

Suspek berusia 59 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat pelajar berkenaan pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa berusia 14 tahun itu telah dicabul suspek sebanyak lima kali antara Disember 2023 sehingga Januari 2024.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Pada Selasa lalu, pihak polis turut menerima satu laporan polis daripada guru berkenaan berhubung kes pemerasan yang dilakukan bapa mangsa untuk menyelesaikan kes cabul tersebut.

“Berikutan itu, satu tangkapan telah dibuat ke atas suspek yang berumur 50 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan serta kes disiasat di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal pihak polis mendapati bapa mangsa (suspek) mengesyaki guru tersebut telah melakukan gangguan seksual ke atas anaknya dan telah berjumpa dengan guru itu untuk menyelesaikan kes cabul dengan meminta sejumlah wang.

“Setelah siasatan kes ini diselesaikan, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis. – MalaysiaGazette