KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,715 kenderaan terlibat dalam kemalangan sepanjang enam hari Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina 2024 yang berakhir 13 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 14 peratus atau 1,699 kenderaan.
“Jika dibandingkan dengan Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina 2023, sebanyak 12,414 kenderaan yang direkodkan terlibat dalam kemalangan.
“Kemalangan tertinggi adalah kereta sebanyak 7,586 buah diikuti kenderaan motosikal (1,397) dan pacuan empat roda (825),” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol), di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, Op Selamat 21 2024 merekodkan penurunan jumlah kemalangan sebanyak 8,501 kes iaitu menurun sebanyak 10 peratus atau 906 kes berbanding Op Selamat 19/2023 dengan 9,407 kes.
“Kes kemalangan maut menunjukkan penurunan dengan merekodkan 86 kes iaitu penurunan sebanyak satu peratus berbanding Op Selamat 19/2023 sebanyak 87 kes,” katanya.
Beliau berkata, jumlah kematian juga merekodkan penurunan sebanyak 9 peratus atau sembilan orang dari 91 kes berbanding Op Selamat 19/2023 sebanyak 100 orang.
“Manakala kes cedera parah pada Op Selamat 21/ 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 40 kes berbanding 52 kes pada OP Selamat 19/2023 dengan penurunan sebanyak 23 peratus atau 12 kes.
“Bagi kes kemalangan ringan mencatatkan penurunan iaitu 295 kes pada OP Selamat 21/2024 berbanding 426 kes pada OP Selamat 19/2023. Penurunan sebanyak 131 kes (31%),” katanya.
Tambahnya, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 67 kematian atau 74 peratus dari keseluruhan jumlah kematian dalam OP Selamat 21/2024.
“lanya meningkat sebanyak 11 kematian atau 20 peratus dilaporkan berbanding Op Selamat 19/2023 dengan 56 kematian,” katanya.
Dalam pada itu, jalan bandaran pula menyumbang kepada peratusan tertinggi kepada kemalangan iaitu sebanyak 3,640 atua 43 peratus.
“Ini diikuti jalan Negeri sebanyak 1,549 (18%) kes, jalan Persekutuan 1,281 (15%) kes, lebuh raya sebanyak 1,028 (12%) kes dan lain-lain jalan sebanyak 1,003 (12%) kes,” katanya lagi.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 201,840 saman sepanjang Op Selamat 21/2024.
“Berlaku peningkatan sebanyak 98,726 saman (96%) berbanding 103,114 saman semasa OP Selamat 19/2023,” katanya. – MalaysiaGazette