Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan peluang kepada pendeposit mendapatkan perlindungan TH Khairat berganda dengan manfaat kewangan sehingga RM24,000.

Pengarah Eksekutif Operasi lembaga tersebut, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, para pendeposit boleh mendapatkannya menerusi dua sijil perlindungan TH Khairat.

Jelas beliau, pendeposit ditawarkan langganan tahunan serendah RM28 bagi setiap perlindungan dengan manfaat kewangan RM12,000 daripada setiap pengendali Takaful kepada penerima manfaat yang dinamakan.

“Sekiranya pendeposit memilih untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali Takaful, pendeposit hanya perlu menyumbang RM56 setahun dan penerima manfaat layak membuat tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM24,000 iaitu RM12,000 daripada STMB dan RM12,000 daripada HLM Takaful,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, pendeposit  boleh mendaftar dan melanggan TH Khairat dengan memilih kedua-dua pengendali Takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).

Mohamed Ameen berkata, TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan sekaligus meningkatkan kualiti sedia ada  masa yang sama berusaha melaksanakan usaha baru yang bermanfaat kepada pendeposit.

Terdahulu katanya, TH Khairat mendapat sambutan menggalakkan sejak ia lancarkan 31 Julai tahun lalu dengan lebih 73,000 pendaftaran direkodkan hanya dalam masa enam bulan sahaja.-MalaysiaGazette