TEMERLOH – Seorang pembantu kedai yang disyaki mencederakan ibu dan anak saudaranya di Taman Rimba Mentakab, dekat sini, semalam ditahan polis, hari ini
Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Mazlan Hasan berkata, suspek lelaki berusia 52 tahun melarikan diri setelah melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, suspek mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun anak saudara beliau berumur 31 tahun dengan menggunakan penyapu dan topi kaledar.
”Semasa pengadu (anak saudara) berada di rumah bersama nenek (ibu suspek), kawan dan seorang perempuan Indonesia untuk membersihkan rumah neneknya kemudiannya tiba-tiba telah dihalau oleh pakciknya.
”Pakciknya telah memukul pengadu dengan menggunakan penyapu pada lengan kanan dan pengadu telah keluar dari rumah.
”Semasa berada di hadapan rumah nenek, sekali lagi pak cik pengadu telah memukul pengadu dengan topi keledar pada bahagian belakang kepala dan badan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Melihat pengadu dipukul, ibu suspek memukul suspek dengan penyapu, namun suspek merentap penyapu yang dan memukul bahagian muka wanita itu.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Mazlan berkata, mangsa telah pergi mendapatkan rawatan di hospital dan membuat laporan polis.
Difahamkan suspek tinggal di rumah sewa di Kuala Lumpur dan balik ke Mentakab untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina sejak 1 Februari lalu.
Katanya, kes diklasifikasi di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette