Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan daripada Shibaura Institute of Technology (SIT) di Tokyo, Jepun.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan daripada Shibaura Institute of Technology (SIT) di Tokyo, Jepun.

Ia atas usaha berterusannya memastikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi platform meningkatkan kemahiran pelajar.

Beliau menerusi kenyataan berkata, pengiktirafan tersebut akan menjadi asas jaminan bahawa TVET bukan lagi pilihan kelas kedua sekaligus menjamin gaji premium selain mengubah persepsi masyarakat.

“Alhamdulilah, pengiktirafan bermakna ini memberikan saya dan seluruh pasukan di bawah Majlis TVET Negara (MTVET) motivasi dan inspirasi untuk berusaha lebih kuat dalam menjadikan program serta ekosistemTVET Malaysia lebih berkualiti dan berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zahid yang juga merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) mengadakan lawatan ke Jepun dengan memfokuskan pemerkasaan TVET.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN yang wajar dicontohi.

Menurut beliau, model berkenaan menekankan konsep pembelajaran TVET yang lebih menyeluruh dan terangkum dimana ianya menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang TVET seawal usia 15 tahun.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa yang mengiktiraf program perantisan (apprenticeship) industri di Jepun dengan menganugerahkan pelajar Malaysia diploma dalam latihan industri selepas menamatkan program pembelajaran.

Katanya, OISCA dalam mesyuarat bersamanya telah bersetuju memberi peluang kepada belia Malaysia untuk menimba pengalaman  serta meningkatkan kebolehpasaran dan nilai pasaran mereka.

Tambahnya, OISCA semasa mesyuarat hari ini telah bersetuju untuk menyediakan tempat program industrial internship training dan juga menjadi platform kepada laluan kerjaya bagi graduan yang berminat untuk bekerja di lebih 5,000 rakan industri OISCA di Jepun.

“Malah pihak City of Yokohama juga turut sama menyediakan Program Yokohama Internship and Job Placement bagi membuka peluang graduan-graduan TVET di Malaysia untuk membina kerjaya bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat global,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, usaha itu akan dirangkum bagi menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan Dasar TVET Negara yang dijadualkan untuk pelancarannya pada Jun 2024. -MalaysiaGazette