Seramai 31 orang warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang dalam serbuan di sembilan premis makanan di sekitar daerah Raub, Bentong dan Temerloh semalam.

KUANTAN – Seramai 31 orang warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang dalam serbuan di sembilan premis makanan di sekitar daerah Raub, Bentong dan Temerloh semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, kesemua mereka yang berusia 18 hingga 51 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, serbuan yang bermula 3 petang sehingga 9.25 malam itu dilakukan 16 orang pegawai penguat kuasa JIM susulan aduan diterima daripada orang awam

Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (11), Thailand (10), Myanmar (3), Pakistan (2), Bangladesh (2), Nepal (2) dan India (1).

Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebih masa yang dibenarkan dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana telah melanggar syarat pas yang telah ditetapkan.

“Kesemua tahanan yang berusia antara 18 hingga 51 tahun itu akan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Muhamamd Hatta, kesemua majikan yang terlibat turut diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan.

JIM Negeri Pahang menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini. – MalaysiaGazette