Dua orang kanak-kanak memenuhi waktu lapang semasa cuti sekolah dengan melakukan aktiviti mencari kepah di Pantai Tanjung Lumpur, hari ini

KUANTAN – Mencari kepah di belakang Hotel Swis-Bel di persisiran Pantai Tanjung Lumpur di sini sudah menjadi rutin penduduk setempat setiap kali musim air surut.

Selain kepah, kemunculan spesis hidupan laut seperti kerrang dan lala juga menjadi rezeki buat masyarakat yang rajin mencari sumber makanan itu.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata keluarga mengambil peluang bersantai dan beriadah bersama keluarga.

Turut kelihatan anak-anak membawa baldi kecil dan cangkul mengorek selut di pantai.

Manakala ada juga sebahagian mereka membawa penutup kipas angin sebagai ’pendulang’ bagi menapis serta mengasingkan pasir yang digali.

Bagi Muhammad Faris Rusdi, 18, dia menjadikan aktiviti itu sebagai mengisi masa lapang bersama adik-beradik sambil menjadikan rutin selepas baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhammad Faris Rusdi, Nur Khairin Muhammad Azmi dan Nurul Abdul Rasad

”Tips untuk mencari kepah biasa gali di kawasan yang surut di celah pasir. Bawa baldi atau plastik besar, kalau kena masa banyak dapat sampai boleh sebaldi penuh.

”Biasa tengok waktu air surut, kami sekeluarga datang. Biasa waktu pagi surut sekejap atau petang pun ada waktu surut. Kakak yang tolong tengok jadual pasang surut,” katanya.

Menurutnya, kemunculan kepah semakin berkurangan kalau dibandingkan pada sebelum ini.

Manakala Nur Khairin Muhammad Azmi, 13, pula berkata dia sekeluarga selalu berkunjung ke sini pada cuti hujung minggu untuk melakukan aktiviti mencari kepah.

”Korek kepah kena sabar, emak ajar gali dengan cangkul, rasa-macam ada batu atau bunyi ’ting’ maksudnya ada kepah dekat sini.

”Selain dari guna cankul, boleh gali dan tekan guna kaki dekat selut,” tambahnya.

Nurul Abdul Rasad, 11, pula berkongsikan rasa terujua bersama ahli keluarga mengutip kepah bagi memenuhi musim cuti sekolah.

”Biasa kutip kepah boleh bagi mak masak, rebus atau masak yang tak pedas. Tak jual kepah cuma tolong cari untuk buat makan sekeluarga,” katanya.

Kemunculan hidupan laut ini bukan sahaja di Pantai Tanjung Lumpur malah ramai yang mengutip kepah di sekitar Pantai Sepat, Pantai Tembeling termasuk di Pantai Balok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast