poster perlawanan T-Fight 2.8 antara Muslim Ahmad menentang Atingpek pada 24 Februari ini di Padang Serai, Kedah.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain Harimau Malaya, Muslim Ahmad mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila dilaporkan bakal membuat kemunculan dalam satu kejohanan muay thai.

Perkembangan itu dikongsikan oleh laman Facebook Kelantan MuayThai Channel yang memaparkan poster perlawanan T-Fight 2.8 antara Muslim menentang Atingpek pada 24 Februari ini di Padang Serai, Kedah.

Ia adalah perlawanan ‘Regu Special Fight’ yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam di pusat beli belah, C-Mart.

Malah, laman Facebook rasmi t-Fight turut berkongsi video beliau tengah giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi perlawanan tersebut yang memerlukan peserta mahir untuk me­nyerang dan bertahan dengan menyasarkan pada tangan, kaki, lutut dan siku.

Pemain yang berusia 35 tahun itu pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat kali pertama pada tahun 2010 ketika dibawah kendalian Datuk K.Rajagobal.

Dia juga merupakan antara tonggak utama Datuk Ong Kim Swee dalam skuad emas negara yang meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Palembang.

Berdasarkan kesungguhannya dalam video latihan T-Fight, Muslim dijangka menceburi sukan Muay Thai yang dilihat lebih serasi dengannya. – MalaysiaGazette