KUALA LUMPUR – Sri Pahang FC hari ini mengumumkan kemasukan bek kental Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Kemasukan pemain yang berusia 28 tahun itu dibuatkan di Facebook kelab tersebut.
Adam yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan merupakan salah seorang pemain yang dilepaskan oleh JDT selepas kelab itu mengambil langkah untuk menjimatkan perbelanjaan musim ini.
Musim lalu, dia lebih banyak diturunkan bersama skuad JDT II dalam saingan Piala MFL 2023 dan memainkan peranan selaku kapten pasukan.
Adam dijangka akan memperkuatkan benteng pertahanan tok gajah bersama beberapa bekas rakan sepasukan seperti Fadhli Shas, Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq.
Pengalaman luas yang dimiliki oleh Adam mampu membantu Sri Pahang memberikan saingan sengit dalam Liga Super musim ini.
Sebelum ke JDT, Adam pernah menyarung jersi Selangor pada musim 2016 hingga 2017 selepas dilepaskan oleh Harimau Muda B yang beraksi dalam saingan Liga Singapura musim 2015.
Antara pencapaian terbaik ketika bersama skuad Malaysia B-23 ialah menjuarai Piala Bangabandhu dan meraih pingat Perak dalam Sukan SEA 2017.
Dua juga tekad pamer prestasi cemerlang bersama Sri Pahang dalam saingan Liga Super musim ini supaya dipanggil semula menyertai skuad Harimau Malaya.
Kali terakhir Adam Nor Azlin beraksi bersama skuad Harimau Malaya ialah pada 2019 dimana ketika itu pasukan senior negara dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe. – MalaysiaGazette