KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini telah berjaya melupuskan pelbagai barangan rampasan bernilai RM1.2 juta di ibu negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban berkata, semua barangan yang dilupuskan hasil rampasan yang dijalankan ke atas pelanggaran kesalahan mengikut undang-undang selepas selesai menjalani proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan.
“Antara barang rampasan yang dilupuskan hari ini adalah merangkumi pakaian seperti baju dan seluar sukan, kasut, selipar, jam tangan, beg tangan, aksesori telefon bimbit, alat ganti kenderaan, minyak wangi dan minuman keras,” katanya.
Kesemua barangan tersebut melibatkan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelupusan Mega bertempat di Kompleks Sentral Segambut hari ini.
Tambah Zakaria, berdasarkan rekod, KPDN WPKL sudah melupuskan pelbagai barangan yang dirampas bernilai RM5.8 juta membabitkan 146 kes sepanjang 2023.
“Manakala bagi tahun 2022, sebanyak 152 kes dengan membabitkan barang rampasan bernilai RM7.5 juta dilupuskan KPDN sementara bagi tahun 2021 pula sebanyak 549 kes dengan rampasan bernilai RM22.1 juta.
“Pelaksanaan pelupusan ini yang tertinggi adalah melibatkan barangan tiruan dan ia bertujuan untuk membasmi aktiviti penjualan serta penggunaan barangan tiruan di ibu kota.
“KPDN sentiasa komited dalam membanteras masalah penjualan barang tiruan dan salah guna harta intelek dan rampasan barang tiruan sahaja adalag sebanyak 129 kes dengan nilai sitaan RM3.71 juta melibatkan 85,000 unit barangan tiruan sepanjang 2023,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan pemilik premis supaya berwaspada dengan kegiatan para penyewa mereka kerana mereka boleh didakwa dengan pelbagai kesalahan jika didapati premis milik mereka digunakan untuk kegiatan yang salah oleh penyewa-penyewa mereka.
Sasaran utama KPDN ketika ini adalah untuk mengesan pemborong barangan berkenaan bagi menyekat rantaian kegiatan terbabit yang menyalahi undang-undang.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan. Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan dapat diambil kepada individu atau syarikat yang menjual barangan tiruan.
“KPDN juga akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang ditetapkan termasuk yang menjalankan perniagaan dalam talian supaya tidak menjual barang tiruan kerana ia menyalahi undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette