Zambry bersama Profesor Dr Ikeda di Universiti Tsukuba.

KUALA LUMPUR – Malaysia mencapai kata sepakat dengan University Tsukuba di Irabaki untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang Kejadian Buatan (AI).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata,  kerjasama tersebut akan dibuat melalui pemindahan dan perkongsian tenaga mahir serta teknologi terkini berkaitan AI.

“Universiti Teknikal Malaysia Melaka mewakili MTUN bersama dengan Universiti Teknikal Malaysia (UTM) yang sedang membangunkan Pusat Pengajian AI di Malaysia akan terlibat dalam kerjasama ini.

“Saya juga berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang turut serta dalam lawatan kerja ini untuk mengkaji pembukaan politeknik AI pertama dalam negara,” kata Zambry dalam satu kenyataan hari ini.

Zambry berkata, ia hasil daripada lawatan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun yang berakhir semalam.

Menurutnya, University Tsukuba mempunyai satu Pusat Kajian Kejadian Buatan (C-AIR) yang ditubuhkan sejak tujuh tahun yang lalu.

Dalam pada itu, Zambry berkata, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang dipilih bagi membolehkan cawangan University Tsukuba dibuka.

“Dijangkakan kampus sementara yang akan beroperasi di Universiti Malaya ini akan dibuka pada September 2024.

“Pembukaan kampus ini akan menarik lebih ramai pelajar luar untuk datang ke Malaysia dan proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti ini akan membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya lagi.

Zambry berkata menerusi lawatan itu, satu bentk kerjasama baharu juga akan dibentuk antaranya KPT dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Kerjasam itu katanya akan turut memfokus kepada penyediaan dana daripada pihak JICA dalam bidang TVET.

“Ini memberi peluang kepada universiti MTUN dan politeknik untuk meneroka bidang TVET dengan lebih meluas,” katanya. – MalaysiaGazette