Tertuduh, Cheong Chin Chong, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

KUANTAN – Seorang pengarah syarikat berdepan denda sebanyak RM500,000 jika didapati bersalah di atas dakwaan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, tertuduh, Cheong Chin Chong, 62, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Azman Mustapha di Mahkamah Sesyen 1 di sini hari ini.

Tertuduh yang juga penyelia tapak itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.15 petang pada 8 Ogos tahun lepas di lot tanah kerajaan di Kampung Permatang Perawan, Pekan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP)  menyerbu tanah terlibat dan mendapati terdapat aktiviti pendudukan dan penggalian tanah dijalankan di kawasan itu menggunakan dua buah backhoe loader.

Hasil pemeriksaan dijalankan, tertuduh mengakui telah menjalankan aktiviti pengorekan tanah di lokasi tersebut selama lima hari bagi kerja-kerja menambun tanah serta baik pulih jalan hutan bagi tujuan pembalakan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dua buah backhoe loader yang disita di tanah berkenaan akan dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang mengikut Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Tanah & Galian Negeri Pahang, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Muhammad Taqiuddin Azizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Najmi meminta tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM20,000.

Namun tertuduh menerusi jurubahasa memohon pengurangan wang ikat jamin atas alasan dia kini bekerja sendiri dengan pendapatan hanya RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan.

“Tertuduh juga perlu menanggung seorang anak, isteri dan ayah denga pendapatan tersebut,” kata jurubahasa.

Hakim seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga terdekat atau rakan sekerja berusia bawah 60 tahun.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac termasuk serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh. – MalaysiaGazette