Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak Petchem Sdn. Bhd. (Sarawak Petchem) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membina loji ammonia dan urea berkarbon rendah di Bintulu, Sarawak.

Di bawah terma MoU itu, kedua-dua syarikat akan menjalankan kajian komprehensif bersama dari segi teknikal dan komersial, dengan aspek-aspek yang lain, dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga yang boleh diperbaharui di rantau ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem YBhg. Datuk Mohammad Ibrahim bersama Ketua Kewangan & Komersialnya Abdul Razak Ali; manakala PCG diwakili oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Mazuin Ismail dan Ketua Perancangan Strategik & Usaha Niaga, Ir. Yaacob Salim.

Majlis tersebut disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Openg; Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri Abdul Aziz Husain; Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh; serta Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

Ammonia berkarbon rendah selalunya digunakan dalam sektor hidrogen dan tenaga untuk pembakaran bersama, “bunkering” dan aplikasi ammonia lestari pada masa hadapan manakala urea pula berfungsi terutamanya sebagai baja, bahan mentah untuk resin dalam papan lapis dan pelekat, serta cecair ekzos diesel untuk pengaplikasian automotif.

“Usahasama untuk mengkaji potensi pembangunan loji ammonia dan urea berkarbon rendah berskala dunia amatlah dialu-alukan.

“Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah; ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global,” kata Abang Abdul Rahman Zohari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast