KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai mata wang ringgit yang masih lagi berada dalam zon yang lemah bagi tempoh terdekat ini perlu dilihat sebagai satu maruah kepada negara.
Ketua Portfolio Sumber Manusia Perikatan Nasional, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk melihat perkara ini dengan serius dan menjadi penyelamat kepada maruah negara ini.
“Bukannya mengelak, apatah lagi terus-menerus menyalahkan isu-isu legasi seperti hutang, 1MDB dan kadar defisit yang tinggi.Perkara-perkara ini telah pun difahami semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang itu berkata, pada waktu sekarang, rakyat dan para pelabur khususnya mahu melihat satu tindakan yang konkrit daripada pihak kerajaan.
“Pihak kerajaan seharusnya berganding bahu bersama pihak Bank Negara bagi memastikan nilai mata wang ringgit yang merupakan ukuran kepada maruah negara sekarang ini kekal di tahap penerimaan yang tinggi. Bukannya menjadi nilai mata wang yang tercorot di rantau Asia ini,” katanya.
Bagi memastikan maruah negara kekal terpelihara dan harapan rakyat direalisasikan dengan baik, katanya, Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang bermaruah dan gagah bukannya lemah seiring melemahnya nilai mata wang ringgit negara.- MalaysiaGazette